CIDB/SPKK

SISTEM SATU PENDAFTARAN KONTRAKTOR (SSPK).


Adalah dimaklumkan kepada semua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Badan-Badan Berkanun dan Syarikat berkaitan Kerajaan bahawa berkuatkuasa pada 15 hb Oktober 2012, Kerajaan akan melaksanakan Sistem Satu Pendaftaran Kontraktor. Sehubungan dengan itu, semua Lesen Kontraktor yang dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) adalah terbatal dan diganti dengan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Walaubagaimanapun, Sijil Taraf Bumiputera bagi mengenalpasti status bumiputera masih kekal di bawah kawalan dan seliaan PKK. Dengan pelaksanaan Sistem Satu Pendaftaran Kontraktor, semua agensi pelaksana yang terlibat dengan urusan berkaitan perolehan, dikehendaki untuk memastikan kaedah pemilihan dan perlantikan kontraktor dibuat mengikut Sistem Satu Pendaftaran Kontraktor.

1. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) adalah agensi di bawah kawal selia Kementerian Kerja Raya (KKR).

2. Dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya, CIDB ditadbir di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, 1994 (Akta 520). Antara fungsi dan tanggungjawab yang terkandung di dalam akta tersebut adalah mengakreditasi, mendaftar, membangun dan memajukan keupayaan serta kemampuan kontraktor. Mereka yang didapati melanggar tanggungjawab dan obligasi sebagai kontraktor akan dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan Akta 520.

3. PKK pula sebagai pusat pendaftaran bagi semua kontraktor kerja di peringkat Persekutuan dan Negeri dan memberi pengiktirafan Taraf Bumiputera kepada kontraktor yang berkelayakan. PKK juga berperanan untuk melahirkan kontraktor Bumiputera yang berkualiti dan berdaya saing. Dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya, PKK beroperasi berdasarkan kepada Arahan Perbendaharaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

4. Apabila CIDB dan PKK berada di bawah satu Kementerian, dengan itu berlaku pertindihan fungsi dan proses kerja dalam mendaftar dan memantau kontraktor pembinaan antara CIDB dan PKK. Ini kerana terdapat 2 kaedah pendaftaran, kriteria penilaian, gred pendaftaran, syarat pendaftaran, tempoh pendaftaran serta pengkhususan/sub-kepala yang dilaksanakan oleh CIDB dan PKK.

5. Perbezaan kedua-dua kaedah pendaftaran ini telah menimbulkan kesulitan pemantauan dan pelaksanaan kepada agensi pelaksana serta kontraktor ketika berurusan dengan agensi pelaksana.

6. Dengan itu, satu inisiatif telah dilakukan mempertingkatkan dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan dan agensi pelaksana melalui Sistem Satu Pendaftaran Kontraktor (SSPK). Melalui SSPK, CIDB bertanggungjawab melaksanakan hal-hal yang berkaitan dengan pendaftaran kontraktor seperti menerima, mempertimbang dan meluluskan permohonan untuk menjadi kontraktor yang berdaftar.

Manakala PKK pula akan bertanggungjawab dalam urusan penarafan status kontraktor Bumiputera.

7. Dengan pelaksanaan SSPK, usaha Kerajaan untuk mewujudkan kontraktor yang berkemampuan dan berkeupayaan dapat dilaksanakan melalui program-program yang dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Kontraktor yang sedang dilaksanakan oleh CIDB. Di samping itu, kontraktor yang berkemampuan dan kompeten dapat dikenalpasti melalui SSPK bagi melaksanakan projek-projek Kerajaan. Dengan peningkatan sistem pangkalan data dan maklumat keupayaan kontraktor, SSPK juga akan menjadi sumber rujukan tunggal untuk pemilihan kontraktor bagi perolehan Kerajaan.


Langkah-langkah yang dilaksanakan untuk mengenalpasti kontraktor yang berkeupayaan dan kompeten, diikuti dengan pengurusan projek dan pemantauan oleh personel teknikal yang kompeten akan membantu mempertingkatkan standard dan kualiti industri pembinaan negara.
Post a Comment